Thursday 26 April 2012

Falsafah cinta menyebut:
Kita tidak sempurna tetapi perkahwinan menyempurnakan kita
Dalam menapak menaiki tangga menuju gerbang perkahwinan, perancangan dan persediaan perlu kemas disusun. Sesungguhnya, yang paling sukar adalah persediaan jiwa. Jiwa perlu bersih, kuat, jernih, suci dan cekal untuk melangkah ke alam yang baru ini.
Apabila si teruna dan dara diijabqabulkan maka terbinalah rumahtangga. Mungkin inilah tafsiran kebanyakan orang apabila ditanyakan maksud rumahtangga. Islam melihat rumahtangga lebih daripada itu. Bahkan Islam merupakan sistem keluarga. Islam memandang rumahtangga sebagai tempat perlindungan, pertemuan dan kediaman. Di bawah naungan rumahtangga, berlaku pertemuan antara hati-hati yang ditegakkan di atas tunjang kasih mesra, saling simpati, saling melindungi, saling berbudi, juga ditegakkan di atas lunas menjaga dan memelihara kesucian diri. Di bawah lindungan rumahtangga juga lahirnya anak-anak dan dari rumahtangga memanjangnya tali hubungan kasih sayang.
Al-Quran menggambarkan rumahtangga dengan gambaran yang halus dan lembut, gambaran hubungan yang terpancar darinya rasa kasih mesra. Gambaran hubungan yang memperlihatkan bayang yang teduh dan embun-embun yang basah, dan gambaran hubungan yang melepaskan bau-bau yang semerbak harum.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah Ar-Ruum: 21)
Itulah hubungan antara jiwa dengan jiwa, hubungan ketenteraman dan kemantapan, hubungan kemesraan dan kasih sayang, malah dari ungkapan kata-kata Al-Quran itu sendiri kita dapat merasakan perasaan kerinduan dan kemesraan.
Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud:
“Wahai para pemuda! Barangsiapa antara kalian berkemampuan untuk berkahwin, maka nikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih membentengi kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa (shaum), kerana puasa itu dapat membentengi dirinya”.
(Hadith Sahih Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi)
Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. ‘Perasaan’ adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan ‘bekerja’ untuk kita, bukan sebaliknya.
Akan tiba masanya, sesuatu yang dilihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika hanya bergantung kepada perasaan, cinta akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggungjawab dan tanggungjawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumahtangga, tanggungjawab akan datang menyelamatkan ‘pertunjukan’ dengan peranan yang lebih berkesan.
Islam adalah agama cinta. Dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga dia merasakan hangatnya cinta.
Kehangatan cinta kepada Allah, Rasulullah s.a.w, dan cinta insani semata-mata kerana Allah

By: Putera-Islam.com

No comments:

Post a Comment