Thursday 29 March 2012

Permulaan Tamadun Manusia

Tahun berganti tahun, bulan berganti bulan, begitu juga hari berganti hari. Kisaran hidup anak adam dalam menjalani kehidupan dunia sebagaimana ketetapan Allah. Dalam seminggu ada tujuh hari, dan di dalam tujuh hari tersebut adanya hari Jumaat, di mana hari keberuntungan untuk seluruh ummat Islam jika kita mengetahuinya. Di dalamnya ada solat Jumaat yang tersembunyi seribu satu macam kelebihan dan pahala yang Allah janjikan. Di dalamnya juga ada kisah-kisah, atau sejarah-sejarah Islam yang boleh menjadi tauladan dan pengajaran buat kita. Namun, persoalannya, dimanakah tahap kesedaran kita akan kelebihan hari Jumaat itu? Dan seberapa ramaikah kaum Adam yang menyedari kelebihan dan tanggungjawabnya dalam menunaikan ibadah solat Jumaat? Adakah tanggungjawab itu dilaksanakan dengan baik dan sempurna, atau masih ramai yang leka dan membiarkan ibadah Jumaat itu berlalu begitu saja?


Allah telah memberi peringatan kepada kita melalui ayat Al-Quran tentang kewajiban kita dalam menunaikan ibadah solat Jumaat. Dalam firmanNya ;

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila telah diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui". Surah Al-Jumu'ah, ayat 9.


Selain Allah mewajibkan kaum Adam untuk solat Jumaat, Allah juga menghadiahkan kepada kita semua sebagai hambaNya, kelebihan-kelebihan yang ada dalam hari Jumaat tersebut. Antara kelebihan-kelebihan tersebut adalah ;

1) Berlakunya hari kiamat.

Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

2)Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.

Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

3) Penghulu segala hari.

Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

4) Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.

Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.” Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.

5) Kebaikan dengan memotong kuku.

Peliharalah kebersihan anda. Kalau boleh, Jumaat ni bagi lebih-lebih lagi. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Biar kemas. Kalau kuku dah rasa mula nak panjang, potonglah. Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

6) Makbulnya doa di antara dua khutbah.

Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.

Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.

Begitulah kelebihan-kelebihan yang Allah janjikan pada kita dalam hari Jumaat. Namun sekali lagi, dimana tahap penghayatan kita pada hari Jumaat dan sejauh manakah penghayatan kita, kaum Adam khususnya, dalam melakukan ibadah solat Jumaat? Berapa ramai diantara kita yang meremehkan solat Jumaat?



Kesilapan dan fahaman dalam masyarakat.

Dalam masyarakat Melayu khususnya, malam Jumaat selalu dikaitkan dengan malam yang seram. Malah filem-filem tempatan juga selalu mengaitkan malam Jumaat dengan cerita -cerita horor. Mentality yang salah seperti ini membawa kepada kemerosotan minda dan kurangnya penghayatan masyarakat akan hari Jumaat ini. Hari Jumaat seperti mana yang telah dijelaskan, memiliki kelebihan-kelebihan seharusnya dititik beratkan dalam masyarakat Islam. Supaya keberkatan dan rahmat yang dijanjikan itu, tidak terlepas begitu sahaja.

Kebersihan diri juga menjadi persoalan ketika datang ke masjid menunaikan ibadah solat Jumaat buat kaum Adam. Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Tetapi ramai yang meremehkan hal ini sehingga ada yang ke masjid dalama keadaan badan atau baju yang berbau, mulut dan sebagainya. Perbuatan seperti ini bukan sahaja mengganggu jemaah yang lain, tetapi seolah-olah tidak menghormati 'ibadah' kepada Allah. Tidak susah untuk menjaga kebersihan diri. Tidak perlu pakaian yang mahal-mahal atau bau wangi-wangian yang bermacam jenis, cukup bersih dan tidak berbau. Itu adalah lebih baik.

Sejak kecil, rasanya kita sudah diajar tentang perkara ini, iaitu bercakap ketika khatib menyampaikan khutbah, maka sia-sialah Jumaat kita. Bayangkan, anda bekerja dari pagi hingga ke petang, setibanya masa untuk mengambil bonus, bos berkata pekerjaan yang anda buat itu tidak ada untungnya, hanya sia-sia. Apa yang anda rasa? Begitu juga dengan solat Jumaat. Diamlah seketika, tidak lama mana, hanya kurang lebih 45 minit sahaja. Mendidik anak dengan membawa mereka ke masjid itu bagus, tetapi sekiranya dengan itu mensia-siakan ibadah Jumaat kita, ada eloknya ditinggalkan anak di rumah.

Semoga dengan ini kita lebih menitik beratkan ibadah kita kepada Allah. Sesungguhnya, fitrah manusia perlukan Tuhan. Jangan sombong dan bongkak, kembali pada Allah hanya ketika susah. Jadi lah seorang yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita, insya-Allah.

“Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Jum‘at, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jum‘at itu dan hari Jum‘at berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia”. Hadis Riwayat Muslim.